Naib Presiden Kanan, Hubungan Global dan Komunikasi Strategik MSU, Datuk Rosli Yusof berkata, My Mountain Project adalah kesinambungan Projek Pelestarian Alam Sekitar MSU (MESP).

“MESP menyaksikan pembukaan semula Gunung Nuang, kemuncak tertinggi iaitu 1,493 meter di Selangor yang terletak di Taman Eko Rimba, Hutan Lipur Hulu Langat. Gunung berkenaan ditutup kepada sebarang aktiviti pendakian oleh Jabatan Perhutanan Selangor semenjak Januari 2018.

“Program ini juga bakal menjadi permulaan kepada Gunung Nuang sebagai pusat MSU bagi melaksanakan aktiviti berfokuskan pemulihan, penjagaan dan pelihara (Cure, Care, Conserve) untuk tempoh lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan dalam tempoh tersebut ialah penanaman pelbagai spesies pokok, menaik taraf kemudahan dan pembinaan penunjuk arah serta pembangunan sistem pendaftaran dan komunikasi tanpa wayar para pendaki.

Katanya lagi, ia turut melibatkan kerjasama antara MSU dan agensi kerajaan, rakan industri serta pertubuhan bukan kerajaan.

Turut mencemar duli menyempurnakan program My Mountain Project ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dalam program itu, Tengku Amir Shah turut berkenan menanam pokok spesis Tongkat Ali (Eurycoma Longifolia) sebagai simbolik perasmian program MSU My Mountain Project.

Baginda juga menanam pokok spesis Resak Daun Panjang (Vatica Yeechongii) serta melepaskan ikan air tawar di Sungai Lolo bersama-sama warga MSU yang lain.

Yang turut hadir ialah Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid dan Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Dr. Junainah Abd. Hamid.

- UTUSAN ONLINE