Tinjauan Utusan Online hari ini mendapati deretan bangunan kedai itu berada dalam kawasan yang agak terpencil dan berdekatan dengan kejiranan penduduk di Pangsapuri Baiduri.

ZALEHA ABD. WAHAB,
ZALEHA ABD. WAHAB, 

Namun, situasi kelihatan terbiar dan terdampar sepi itu menyebabkan peniaga, Zaleha Abd. Wahab, 60, kecewa dengan pihak pemaju yang tidak bersungguh-sungguh membangunkan kawasan itu.

“Sebelum ini, ramai peniaga yang berniaga di kawasan itu tetapi apabila bangunan kedai baharu di bahagian depan yang terletak di tepi jalan utama siap, ramai peniaga yang lari ke situ.

“Saya tinggal di sini sejak 2002 dan selepas itu baru ada kedai tersebut. Ini bermakna lebih 15 tahun kedai itu terbiar. Jadi, saya gesa agar Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) melihat balik projek yang diusahakan oleh pihak pemaju ini.

“Kalau boleh saya juga berharap sekiranya MPKJ dapat mengusahakan sesuatu seperti menyediakan tapak pasar malam supaya kawasan di situ boleh dihidupkan semula,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

SAADIAH MIAT
SAADIAH MIAT 

Bagi Saadiah Miat, 49, yang merupakan penduduk tetap di kawasan itu, anak jirannya pernah diragut di hadapan kawasan berkenaan ketika pulang dari kedai.

“Anak jiran saya pernah diragut oleh seorang lelaki yang menaiki motosikal pada pukul 11 malam. Keadaan di hadapan lot kedai itu agak suram kerana lampu jalan tidaklah begitu terang sangat.

“Jadi, ada yang cuba mengambil kesempatan melakukan aktiviti tidak bermoral di kawasan ini,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE