Isteri arwah, Aslinda Bahak Udin, 48, berkata, sebelum ini selama 10 tahun, dia dan suami serta anak-anak bersama-sama menjayakan perniagaan kuih raya.

“Baru-baru ini arwah berbincang dengan saya untuk tidak berniaga biskut dan kuih raya, kerana katanya sudah sampai masa kami menumpukan untuk menunaikan ibadah pada bulan Ramadan.

“Masa dia berkata begitu, saya pun tidak membantah, namun tidak merasakan seolah-olah dia hendak pergi meninggalkan kami semua,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama ialah Timbalan Pengarah Perkeso Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan dan wakil Pejabat Parlimen Shah Alam, Mohd. Jamil Abdul Rahim.

Pada 31 Mac lalu, Iskandar Dzalman maut ketika menyertai kayuhan basikal 60+ Earth Hour anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini.

Iskandar Dzalman, 47, yang merupakan pekerja swasta syarikat perunding arkitek dikatakan rebah ketika sedang berkayuh akibat serangan jantung sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam tetapi gagal diselamatkan.

Aslinda yang merupakan seorang suri rumah berkata, dia reda dan tidak menyangka suaminya meninggal dunia kerana diserang sakit jantung.

“Tahun ini sambutan Hari Raya Aidilfitri sudah pasti suasananya tidak akan sama seperti semasa arwah masih ada. Apa yang pasti, saya akan terus menjaga ketiga-tiga anak kami,” katanya.

Sementara itu Mohammad Ramli berkata, waris akan mendapat RM2,000 bagi faedah pengkebumian dan pencen bulanan sebanyak RM2,350 untuk balu dan anak-anak. - UTUSAN ONLINE