Pegawai Penyelaras PWB Selangor, Nurul Imma Mansor berkata, sebagai sebuah badan yang ditubuhkan atas dasar menggalakkan wanita bergiat aktif dalam komuniti, pihaknya mengadakan pelbagai program termasuk bengkel bagi menambah ilmu keusahawanan, kemahiran dan gubahan kreatif.

“PWB juga menumpukan program berilmu dikenali sebagai Program Berkapasiti di mana golongan wanita didedahkan kepada pelbagai ilmu pengurusan kewangan, kesihatan dan kebajikan keluarga juga hak-hak wanita dalam perundangan.” katanya dalam majlis Karnival 3W di sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud; Penyelia PWB Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Noranita Mat dan PWB DUN Sungai Pelek, S. Gomathi.

Karnival tersebut merupakan siri kelima dianjurkan yang mana sebelum ini diadakan di Ampang Jaya, Petaling Jaya, Klang dan Morib.

PWB sebelum ini dikenali sebagai Pusat Komuniti Wanita dan ditubuhkan sejak 2009 untuk memberdayakan wanita setempat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta ekonomi. - UTUSAN ONLINE