Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, sebanyak 37,263 kes denggi direkodkan dengan 34 kematian bagi tempoh 1 Januari hingga 6 Julai tahun ini.

“Berbanding bagi tempoh yang sama iaitu sebanyak 19,357 kes dengan 16 kematian. Jumlah itu menunjukkan peningkatan 108 peratus kes dan ini amat serius.

“Peningkatan yang ketara berlaku selepas musim perayaan iaitu pada minggu ke-24 hingga minggu ke-27 masing-masing sebanyak 1,193 kes dan 1,719 kes demam denggi. Situasi ini menunjukkan ketidakprihatinan penduduk Selangor dalam mencegah dan membasmi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar dalam majlis pelancaran kempen Cari dan Musnah : Selangor Bebas Denggi 2019 di sini hari ini.

Terdahulu, lima daerah di negeri ini menjadi lokasi panas iaitu Petaling dengan 62 lokasi diikuti Hulu Langat (26),Gombak (13) dan Klang serta Hulu Selangor masing-masing lapan lokasi.

Dalam pada itu, Siti Mariah menjelaskan, Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu 7, Cheras merupakan antara lokasi panas wabak denggi di Selangor.

Jelasnya, pihaknya kecewa berikutan beranggapan sebagai pasukan keselamatan mempunyai displin yang tinggi.

“Berdasarkan semakan mendapati kem tersebut menjadi lokasi wabak selama 137 hari. Kem PGA itu merupakan satu-satunya kawasan paling lama wabak dikesan di daerah Hulu Langat.

“Kita semestinya memandang serius isu ini dan berharap pihak mereka mengambil pendekatan sewajarnya,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE