Itu kekhuatiran kumpulan penduduk sekitar kawasan ini terhadap operasi sebuah kilang pemprosesan sisa plastik didakwa dari China, sejak dua minggu lalu.

Kebimbangan penduduk itu dizahirkan menerusi satu perhimpunan aman di depan kilang terbabit di Jalan Sepang, Batu 2, hari ini yang dihadiri lebih 50 orang terdiri daripada penduduk sekitar Sungai Pelek dan Sepang.

Pada perhimpunan tersebut, penduduk pelbagai kaum telah menyuarakan bantahan mereka dan mahu pihak berwajib menutup operasi kilang terbabit serta-merta.

Wakil penduduk, Joshua Tee, 40, berkata, berdasarkan maklumat daripada mereka yang pernah bekerja dengan kilang terbabit sebelum ini, terdapat banyak kontena dari luar negara dilihat telah dibawa masuk ke dalam kilang berkenaan untuk diproses.

Operasi kilang berkenaan menurutnya, dijalankan pada lewat malam iaitu antara pukul 12 tengah malam sehingga awal pagi.

Jelasnya, kerja-kerja pemprosesan plastik itu menyebabkan risiko pembebasan gas-gas berbahaya yang dikhuatiri mencemarkan Sungai Sepang Besar yang terletak di belakang kilang terbabit.

“Kita tidak mahu sungai kita menjadi Sugai Kim Kim kedua. Kita tidak mahu pencemaran menjadi teruk menyebabkan kita membazir banyak duit untuk membersihkan sungai.

“Kita juga apabila bangun pagi akan terhidu bau hangus dari kilang ini. Kita tahu ada yang tidak kena,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan berkenaan.

Joshua yang juga Pengerusi Gabungan Persatuan Cina dan Pertubuhan Rumah Berhala Kawasan Sungai Pelek dan Sepang menegaskan, pihaknya berasa hairan bagaimana kilang terbabit memperoleh permit sementara untuk beroperasi memandangkan ia telah ditutup pada Mac lalu kerana tiada lesen.

Beliau berkata, pihak pengurusan kilang masih belum mendapatkan laporan kajian impak alam sekitar (EIA) memandangkan permit yang diberikan kepada kilang tersebut adalah permit sementara.

Jelas beliau, pihaknya difahamkan bahawa Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Selasa ini akan mengadakan satu mesyuarat bagi menentukan sama ada permit kilang terbabit akan diteruskan atau sebaliknya.

“Oleh itu kita telah ke MPSepang untuk menyerahkan memorandum dan hari ini kita meluahkan rasa tidak puas hati kita,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk, Henry Tong, 36, menggesa MPSepang tidak tergesa-gesa dalam tindakan mereka kerana ia melibatkan soal kesihatan dan alam sekitar.

Beliau memberitahu, terdapat juga aduan penduduk mengatakan mereka mengalami gejala gatal-gatal badan dan rasa kurang sihat didakwa disebabkan oleh kilang berkenaan.

“Kita berkumpul di sini tiada agenda politik tetapi untuk menyampaikan suara penduduk dalam usaha menutup kilang sampah ini. Saya rasa adalah tidak perlu ia diproses di Selangor,” katanya. - UTUSAN ONLINE