Jurucakap bomba berkata, mayat Tee Chau Hou, 61, ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam perigi bekalan air yang digunakan untuk kerja-kerja meracun, kira-kira 100 meter dari lokasi Pusat Kawalan Bomba (PKB) di ladang kelapa sawit tersebut.

Katanya, operasi pencarian yang disambung semula hari ini pada pukul 9 pagi dengan bantuan ahli keluarga mangsa akhirnya berjaya menemukan mayat mangsa.

“Kira-kira pukul 9.15 pagi, mayat mangsa yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu dijumpai di dalam perigi bekalan air yang digunakan untuk kerja-kerja meracun, di ladang kelapa sawit berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pasukan bomba kemudiannya mengeluarkan mayat dari kawasan itu dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Semalam, pasukan penyelamat menggunakan khidmat anjing pengesan dalam operasi mencari Chau Hou tetapi tetap gagal menemukan mangsa.

Kehilangan lelaki itu disedari rakan-rakannya kira-kira pukul 6 petang pada Sabtu lalu dan apabila usaha mengesannya gagal, mereka kemudiannya memaklumkan kepada pihak keselamatan. - UTUSAN ONLINE