Dia yang berasal dari Sekinchan, Selangor sempat bertemu keluarganya selama setengah jam pagi ini juga meminta agar isu melibatkan persempadanan Malaysia-Indonesia dapat ditangani sebaik-baiknya oleh kerajaan kedua-dua negara.

Perkara itu disampaikannya kepada Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi yang mengatur pertemuan Kee Chan dengan isterinya, Yeo Su Hung, 46, dan anak bongsu, Chia Ming Siang, 15, di Penjara Labuhan Deli, Medan.

Budiman berkata, Kee Chan juga berharap proses pembebasan nelayan yang ditahan atas kesalahan menceroboh perairan republik dapat dibuat dengan segera selaras dengan kesepakatan yang dicapai antara Najib dan Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini.

“Jelas terpancar sinar kegembiraan pada raut wajah Kee Chan apabila dia dapat bertemu dengan keluarganya pagi ini. Dia dipenjarakan sejak 15 April lalu juga berharap dapat segera bersama dengan mereka kelak,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini selepas pertemuan berkenaan.

Malaysia dan Indonesia pada 22 November lalu mencapai kata sepakat untuk membebaskan dengan segera semua nelayan yang ditahan oleh mana-mana satu negara kerana menceroboh kawasan perairan masing-masing.

Kata sepakat itu dicapai antara Najib dan Joko dalam Majlis Perundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia di Kuching.

Budiman berkata, Kee Chan yang dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun empat bulan itu kini berada dalam keadaan sihat dan berkhidmat sebagai tukang masak di penjara berkenaan.

“Su Hung bertemu dengan saya untuk memohon pertolongan bagi bertemu dengan Kee Chan dua minggu lalu. Oleh itu, hari ini kami dengan bantuan pihak di Indonesia juga, kita merealisasikan pertemuan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Su Hung turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha Budiman untuk menemukan mereka sekeluarga dan berharap Kee Chan dapat dibebaskan untuk bersama menyambut Tahun Baharu Cina tahun depan.

“Walaupun hanya dapat bertemu kira-kira 30 minit, namun saya sangat bersyukur apabila dapat bertemu dengan suami dan rindu yang ditahan selama hampir dua tahun akhirnya terubat.

“Hampir setiap hari saya menangis mengenangkan nasib suami yang dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun empat bulan dan akhirnya pagi semalam saya dapat bertemu dengannya walaupun hanya 30 minit,” katanya.