Namun itulah dihadapi pasa­ngan Azhar Ahmad, 43 dan Haizatul Akma Mohamad Ghazali, 41, apabila anak mereka, Muhammad Alif Imran Azhar, 7, ditakdirkan mengalami pelbagai masalah kesihatan selepas dilahirkan tidak cukup bulan.

Selain paru-paru kronik, jantung dan angin pasang (hernia), anak keenam daripada tujuh adik beradik itu juga menghidap penyakit langit berlubang dan tulang bengkok di kedua-dua belah kakinya.

Keadaan itu menyebabkan Muhammad Alif Imran tidak boleh bercakap dengan normal selain pergerakan yang terbatas.

Menurut Azhar, walaupun keadaan Muhammad Alif Imran semakin bertambah baik menjangkau usia empat tahun, namun dia sekeluarga masih memberi sepenuh tumpuan untuk mening­katkan tahap kesihatannya.

“Kami ajar dia hidup berdikari kerana dari segi mental, dia sihat, boleh berfikir dengan baik. Cuma perlu pastikan terhindar daripada habuk kerana dibimbangi menyebabkan jangkitan paru-paru.

“Segala makan minum, pergerakan tidak ada masalah tetapi untuk mandi dan mengenakan pakaian serta lampin buang, memerlukan bantuan sekeluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Blok J, Puchong Utama Court 1, Taman Puchong Utama di sini baru-baru ini.

Azhar yang bekerja sebagai penyelenggara bangunan menambah, Muhammad Alif Imran yang bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas Taman Puchong Utama 1 masih lagi mendapatkan rawatan susulan di hospital.

“Selama empat tahun keluarga kami ber­ulang-alik ke hospital untuk me­rawat penyakitnya selain memerlukan penggunaan mesin pernafasan dan tiub bagi makan dan minum.

“Dia juga pernah dimasukkan di Unit Rawatan Rapi lebih sebulan dan kalau diikutkan doktor, tidak ada harapan untuknya sembuh dan tidak boleh bergerak.

“Bagaimanapun, kami masih memberi harapan kepadanya ditambah dorongan adiknya, Muhammad Syakirin Firdaus, 2, teman pa­ling rapat dan rakan se­permainan sehingga dia menjadi aktif,” katanya.

Sementara itu, Haizatul Akma yang juga suri rumah sepenuh masa berkata, derita anaknya itu turut mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menghulurkan bantuan sebanyak RM300 sebulan.

Bagaimanapun menurutnya, dia dan suaminya terpaksa bekerja keras untuk mencari perbelanjaan tambahan bagi membesarkan tujuh anaknya berusia antara dua hingga 18 tahun di mana enam daripadanya berada di bangku persekolahan.

Orang ramai yang ingin me­nyumbang untuk mengurangkan bebanan Muhammad Alif Imran, boleh berbuat demikian menerusi akaun Affin Bank (Azhar bin Ahmad) bernombor 200980034925.