SHAHRIN AHMAD
SHAHRIN AHMAD 

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, tawaran itu bermula semalam dan tamat pada 4 Jun 2019 depan.

“Kempen ini merupakan inisiatif MBSA untuk menggalakkan OKK menyelesaikan segala tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang gagal berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahrin, antara kompaun yang layak mendapat pengurangan 50 peratus adalah bagi kesalahan di bawah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983; Undang-undang Kecil Taman (MBSA) 2005; Undang-undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005; Undang-undang Kecil Establisyemen Makanan (MBSA) 2007; Undang-undang Kecil Pengendali Makanan (MBSA) 2007; Undang-undang Kecil Iklan (MBSA) 2007 dan Undang-undang Kecil Penjaja (MBSA).

Selain itu katanya, pengurangan kompaun juga diberikan bagi kesalahan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007, Undang-undang Kecil Pasar (MBSA) 2007 dan kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) iaitu pengurangan RM30.00 daripada jumlah asal.

Jelasnya, bagi menggalak orang ramai membuat pembayaran, pihak MBSA turut menyediakan Pejabat Bergerak Shah Alam On Wheel (SAOW) yang akan beroperasi pada setiap Sabtu di pasar raya terpilih di kawasan pentadbiran MBSA.

“Orang ramai juga boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning, dan Pejabat Cawangan Setia Alam.

“Jadi ambil peluang ini untuk bayar tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas diambil ke atas OKK antaranya membuat sekatan urusniaga di kaunter-kaunter MBSA ataupun membawa ke mahkamah,“ katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung pengurangan kompaun, orang ramai boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-55222882 atau pun layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my. - UTUSAN ONLINE