Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, dalam peringkat akhir yang mendebarkan, MBSA A berjaya menewaskan Kelab Sukan DBKL (KSDBKL) sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,500 dan piala iringan.

“MBSA turut menghantar pasukan MBSA B, namun gagal ke peringkat separuh akhir apabila tewas kepada KSDBKL.

“Kejohanan Tarik Tali Terbuka Kuala Lumpur ini menampilkan pasukan-pasukan yang hebat, namun kesungguhan dan komitmen bermain secara berpasukan membolehkan pasukan MBSA A menjadi juara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahrin berkata, ucapan tahniah perlu diberikan kepada MBSA A kerana mempunyai semangat juang tinggi dan tidak mudah menyerah kalah dalam perlawanan akhir.

Tambahnya lagi, kejayaan pasukan tarik tali tersebut boleh dianggap sebagai hadiah sempena sambutan ulang tahun ke-18 bandar raya Shah Alam pada hari ini. - UTUSAN ONLINE