Bagi mahasiswa, peruntukkan itu besar ertinya kerana selain dapat membantu mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung keluarga, ia juga suatu manifestasi kepada sikap cakna sesebuah kerajaan terhadap mereka.

Nurain Alliya Damanhuri
Nurain Alliya Damanhuri 

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nurain Alliya Damanhuri, 23, berkata, dia menyambut baik ketetapan berkenaan khususnya apabila langkah kerajaan negeri menaikkan syarat pendapatan isi rumah.

“Paling penting apabila syarat pendapatan isi rumah dinaikkan dari RM3,000 ke RM5,000. Tentu sekali akan menyaksikan lebih ramai mahasiswa bakal menerima manfaat Hadiah Masuk Universiti ini,” katanya di sini hari ini.

Khamis lalu, Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan kerajaan negeri membuka semula permohonan Hadiah Masuk Universiti dan mahasiswa boleh memohon di laman sesawang rasmi: hpipt.selangor.gov.my dengan tarikh tutup permohonan pada 27 Ogos 2019.

Ruhaida Razali
Ruhaida Razali 

Pandangan sama disuarakan seorang lagi mahasiswa UiTM, Ruhaida Razali dan katanya selaku anak jati Selangor tentu sahaja program Hadiah Masuk Universiti adalah pendekatan pragmatik bagi tempoh jangka panjang kerana ia dapat membantu ramai graduan.

“Benar ada banyak bantuan atau pinjaman lain yang ditawarkan pihak berwajib tetapi pemberian RM1,000 ini lebih menggembirakan kerana ia hadiah dan paling penting, hadiah ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam bidang pendidikan,” katanya.

Nur Atiqah Shahidah Anuar Alsadat
Nur Atiqah Shahidah Anuar Alsadat 

Dalam pada itu, pelajar Politeknik Sultan Idris Shah, Nur Atiqah Shahidah Anuar Alsadat, 20, pula menganggap Hadiah Masuk Universiti tersebut adalah satu kemudahan yang tepat pada masanya oleh kerajaan negeri.

“Ia merupakan satu kemudahan dan saya yakin dengan adanya hadiah ini pastinya ramai ibu bapa senang hati tetapi yang lebih penting ialah kesungguhan pihak kerajaan untuk membantu kami,” ujarnya.

Nurhaifa Izzati Mohd. Nadzri
Nurhaifa Izzati Mohd. Nadzri 

Sementara itu, bagi pelajar Kolej Komuniti pula, Nurhaifa Izzati Mohd. Nadzri, 19, berkata, hadiah sebegitu memberi banyak manfaat kepada mereka, bukan sahaja dalam soal membantu aspek perbelanjaan tetapi juga dorongan moral.

“Sebagai pelajar anak jati Selangor saya sangat menghargai bantuan seperti ini kerana ia memudahkan urusan pelajar dan pada masa depan, jika kewangan kerajaan negeri mengizinkan, mungkin jumlah hadiah itu boleh ditingkatkan,” katanya.

Nurul Syafiqah Shamsuddin
Nurul Syafiqah Shamsuddin 

Rakannya, Nurul Syafiqah Shamsuddin, 21, yang juga anak jati Selangor juga sependapat bahawa inisiatif kerajaan negeri tersebut dapat meringankan beban mereka sebagai pelajar.

“Saya berharap semoga semua pelajar anak jati Selangor dapat memanfaatkan dengan sebaiknya bantuan yang ditawar dan diberikan kerajaan ini,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE