Penduduk mendakwa kegiatan itu sudah berlarutan sejak lima tahun lalu tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan pihak berwajib.

Kegiatan itu bukan sahaja mencemarkan pemandangan dan menghasilkan bau busuk, malah mewujudkan tempat pembiakan nyamuk aedes, lalat serta tikus.

Keadaan ini sekali gus membahayakan kesihatan dan nyawa lebih 500 penduduk kampung berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi yang terletak berdekatan sebuah masjid dan restoran itu mendapati jalan sepanjang kira-kira 100 meter di kawasan itu rosak teruk dipercayai digunakan kenderaan berat keluar masuk ke tapak berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian, laluan masuk ke tapak turut dikawal ketat oleh beberapa pekerja yang seolah-olah berlagak samseng dan tidak membenarkan sesiapa masuk ke tapak berkenaan.

Utusan Malaysia difahamkan kegagalan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas menyebabkan kegiatan itu berterusan sehingga ke hari ini.

Dakwaan penduduk yang bimbangkan kehadiran kende­raan besar yang dipandu laju dan berbahaya itu juga berasas apabila sepanjang pemerhatian terdapat empat hingga lima buah lori setiap lima minit keluar masuk ke tapak pelupusan itu.

Ini terutama kepada para jemaah yang pergi dan pulang dari masjid berhampiran.

Lebih mengecewakan penduduk, telah banyak kali aduan berkaitan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan diambil dan operasi masih diteruskan seperti biasa.

Tinjauan turut mendapati keada­an persekitaran di sepanjang jalan di perkampungan itu juga dipenuhi habuk dan debu kotoran.

Sehubungan itu penduduk berharap pihak PBT dapat turun padang dan mengambil tindakan segera bagi memastikan keselesaan dan keselamatan mereka.