Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, lelaki berusia 40 tahun itu akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Ya, suspek akan didakwa esok berikutan telah mendapat perintah daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ringkas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Bagaimanapun, ditanya berhubung dakwaan isteri suspek ada menghubungi polis berhubung mangsa membawa kenderaan secara berbahaya, Ab. Rashid menafikan perkara tersebut.

Terdahulu, suspek bersama isterinya telah direman selama tujuh hari bermula 11 Ogos, namun reman lelaki terbabit dilanjutkan sehingga 22 Ogos depan sementara isterinya pula dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada kejadian 10 Ogos lalu, media melaporkan pasangan suami isteri yang terlibat dengan perselisihan di jalan raya hingga mengakibatkan seorang lelaki maut.

Pergaduhan dikatakan berlaku akibat kemalangan kecil di tol Sungai Besi menghala selatan namun cuba dileraikan oleh beberapa pemandu lain sebelum semuanya kembali ke kereta masing-masing.

Mangsa bagaimanapun tidak berpuas hati sebelum keluar semula daripada kereta dengan membawa sebatang kayu baseball dan memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Suspek kemudian memandu kereta ke hadapan dalam keadaan tergesa-gesa dan terlanggar mangsa hingganya menyebabkan dia tersepit antara kereta dan penghadang jalan.

Mangsa telah dibawa ke Nilai Medical Centre sebelum meninggal dunia semasa dirawat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.- UTUSAN ONLINE