Ketua Bahagian Komunikasi dan Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, program tersebut dijadualkan berlangsung dari pukul 8 hingga 11 pagi.

“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran kepada komuniti setempat serta menggalakkan kerjasama secara berterusan daripada semua pihak untuk bersikap lebih bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan demi persekitaran bersih dan selamat.

“Selain itu, ia juga merupakan platform untuk meningkatkan kesedaran terhadap pemilikan haiwan secara bertanggungjawab,” katanya di sini, baru-baru ini.

Sebanyak 40 ekor kucing akan disediakan untuk dijadikan kucing angkat oleh orang ramai dalam program berkenaan.

Menurut Shahrin, kucing-kucing tersebut ditangkap oleh MBSA di pasar dan gerai dan ada juga yang disumbangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan.

“Kucing-kucing ini telah divaksin dan dibuat pemeriksaan kesihatan. Setiap kucing yang diambil akan dikenakan bayaran sebanyak RM20 dan jumlah maksimum pengambilan kucing adalah sebanyak dua ekor bagi seorang pemilik.

“Pihak kami juga bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia dan The Society for the Prevention of Cruelty to Animals Selangor bagi menjayakan program ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE