Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, untuk menjayakan agenda ‘Negara Perindustrian’ yang maju, pihak industri disarankan agar sentiasa terbuka dan ikhlas membantu pihak politeknik dari segi peralatan, latihan kepakaran, teknologi, pembangunan kurikulum dan sebagainya.

“Pembinaan ‘Industri on Campus’ adalah model terkini yang boleh diaplikasikan oleh pihak industri,” titah Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Program Golden Industrial Festvet (GIFT) Tahun 2019 Sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Politeknik Malaysia yang diadakan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini, hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah PSA, Dr. Mohd Zahari Ismail, timbalan-timbalan beliau serta kepimpinan majlis perwakilan pelajarnya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohammad Naim Yaakub.

perlis
 

Program berkenaan adalah anjuran PSA dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta Jabatan Penerangan.

Baginda turut menambah bahawa segala usaha yang dilaksanakan oleh pihak politeknik di negara ini hendaklah memberikan impak yang positif kepada semua pihak dalam melestarikan sistem pendidikan TVET yang cemerlang dan sentiasa mampan dalam arus pembangunan dunia.

Menurut baginda, sepanjang 50 tahun penubuhan politeknik, kita telah banyak melakar dan menempa nama samada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan yang membanggakan ini mesti dikekalkan agar kita dapat melahirkan lebih ramai lagi pelajar yang berkemahiran, berkebolehan, holistik, berdaya saing serta berciri usahawan pada masa akan datang,” titah baginda.

Bersempena program berkenaan baginda berdua turut berkenan melancarkan mesin ATM Bank Islam dan juga Dataran PSA selain melepaskan para peserta ‘Colour Run 2019’. - UTUSAN ONLINE