Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, budaya kitar semula perlu bermula dari peringkat sekolah rendah seterusnya universiti.

“Program ini merupakan inisiatif berterusan MBSA dalam menggalakkan masyarakat khususnya golongan pelajar bersama-sama mengamalkan amalan kitar semula dan menjaga alam sekitar demi manfaat generasi akan datang.

“F&N selaku penaja utama program ini bekerjasama dengan MBSA untuk mendidik masyarakat terutamanya pelajar dan golongan muda terhadap kepentingan amalan kitar semula dalam kehidupan harian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Kempen Kitar Semula Peringkat Sekolah Ke-12 di Wisma MBSA, di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Majlis MBSA, Kamarudzaman Sanusi.

Yang turut hadir ialah Ketua Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBSA, Mohd. Azmi Amer Khan; Pengurus Hal Ehwal Korporat F&N, Cariessa Goh dan Pengurus Ekonomi Serantau Asia Selatan, Asia Timur dan Oceania F&N, Terrynz Tan.

Shahrin memberitahu, tahun ini, sebanyak 175,161 kilogram (kg.) bahan kitar semula berjaya dikumpulkan berbanding 143,946.2 kg. pada 2017 dan 1,044 unit kutipan sisa elektronik.

“Penyertaan pada tahun ini melibatkan 10 buah prasekolah; 15 sekolah menengah dan 19 sekolah rendah. F&N menyumbang wang tunai sebanyak RM28,200 untuk menjayakan program ini.

“Selain itu, MBSA turut menerima sumbangan daripada Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd. yang menyumbangkan wang tunai sebanyak RM1,500.00 untuk Hadiah Anugerah Khas Tetra Pak Tertinggi,” katanya. - UTUSAN ONLINE