Menurut Siti Pauziah Muhammad, 54, daripada sekadar suka-suka, perniagaan bertih jagung kini menjadi sumber pendapatan utamanya dan sedikit sebanyak telah berjaya mengubah taraf kehidupannya ke arah lebih baik.

“Semuanya bermula pada 2012 apabila menantu saya, Mohd. Fitri Yusof, 33, yang mengusahakan perniagaan itu secara sambilan di Puchong.

“Sebelum ini saya hanyalah suri rumah. Bagaimanapun, di-sebabkan menantu tidak menang tangan apabila banyak menerima tempahan bertih jagung ini, dia minta bantuan saya untuk siapkan tempahan.

“Kemudian, menantu ha­di­ah­kan saya satu mesin bertih jagung. Dari situ saya mula menerima tempahan permintaan daripada penduduk sekitar kampung ini,” katanya yang turut memberitahu tidak ramai usahawan di kawasan itu menjalankan aktiviti penghasilan bertih jagung.

Tambah Siti Pauziah lagi, dia menjual bertih jagung pada harga berpatutan mengikut kategori iaitu RM16 bagi setiap kilogram, RM2 (bertih jagung dalam bekas) dan RM1 hingga RM1.50 (bertih jagung dalam plastik).

Sehingga kini katanya, tujuh daripada 10 anaknya turut sama mengusahakan perniagaan itu di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur selain bercadang mewujudkan rangkaian yang lebih banyak selepas ini.

Berpegang kepada prinsip, biar untung sedikit tetapi berpanjangan, Siti Pauziah memberitahu, dia kini meraih pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan hasil penju­alan bertih jagung.

“Selain membekalkan bertih jagung untuk dijual di kedai makan, runcit dan stesen minyak sekitar daerah ini, saya turut menjadikannya sebagai cenderahati untuk majlis perkahwinan,” ujarnya.