Program buat julung kali diadakan itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) GM Klang yang merupakan pusat membeli-belah menjual barangan borong sempena ulang tahun pusat pemborong ke-10.

Ketua Pegawai Kewangan GM Klang, Foo Loke Ping berkata, seramai 20 kakitangan termasuk daripada Kelab Sukan GM Group menceriakan anak-anak yatim yang kurang bernasib baik.

“Pada program kali ini, kita menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan harian anak-anak yatim dan pusat jagaan seperti lampin pakai buang, minyak masak, menyambut hari lahir dan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM4,000.

“Ini adalah program pertama meraikan anak-anak yatim dan kita bercadang untuk menjadikannya sebagai aktiviti tahunan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Rumah Amal Cahaya Kasih Bestari, Ummu Khalsum Abd. Ghani berkata, pihaknya gembira berikutan terdapat pihak yang prihatin dengan anak-anak yatim dengan menyambut hari lahir selain mengadakan pelbagai acara seperti sukaneka.

“Kebiasaannya aktiviti harian mereka pada hujung minggu terhad, namun apabila ada individu perseorangan atau syarikat yang hadir mengadakan aktiviti luar anak-anak ini berasa seronok.

“Selain bantuan daripada luar, kita juga mengambil inisiatif membuka sebuah kiosk ayam goreng di Subang Uranus dalam usaha menjana pendapatan pusat jagaan itu,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 016-2516515.- UTUSAN ONLINE