Kemenangan Aini Sophi meneruskan kegemilangan pemenang-pemenang edisi sebelum ini, Ashira Kaseh, Ayu Harris, Nur Hazwani Zaini, Nurul Ain Nasiron dan Amy Nur Tinie Abdul Aziz yang merupakan Ikon Wanita Melayu yang pernah diangkat oleh Plaza Shah Alam sepanjang enam tahun penganjuran pertandingan sama.

Menurut Aini Sophi, dia sudah tentu gembira kerana masih baharu dalam bidang peragaan dan seni tarian.

“Sebelum ini di peringkat antarabangsa pada 2017, saya mewakili Asia ke pertandingan Miss Festival Bulgaria dan menang.

“Tahun lalu saya menang Miss Malaysia Kebaya sebelum menyertai PWM setelah melihat promosi pertandingan dalam media sosial,” katanya kepada pemberita selepas pertandingan tersebut di sini, kelmarin.

Ditanya perancangannya selepas ini, Aini Sophi berkata, buat masa ini dia mahu bergiat dalam bidang peragaan sebelum menyambung pelajaran dalam bidang keusahawanan.

“Saya sedar akan sampai masanya untuk saya tidak lagi aktif dalam bidang peragaan dan tarian. Inya-Allah, saya akan sambung pengajian dalam bidang perniagaan selaras cita-cita saya untuk menjadi usahawan berjaya,” ujarnya.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh pemilik Habibs Jewels, Datuk Seri Meer Habib; Pengurus Besar Evergreens Venue, Lung Hien Chou dan wakil Habib Group, Yasheedah Yashaiya.

Antara penaja pertandingan berkenaan adalah, Habib Jewels, Ice-Watch, Xixili, Anytime Fitness, Smart Travelo Brillando, Rasagarwood dan Ashira Kaseh. - UTUSAN ONLINE