Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7.15 malam turut melibatkan empat buah kereta yang mana salah seorang pemandu berusia 29 tahun cedera di bahagian kepala.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 7.33 malam sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian bersama 14 anggota termasuk dua buah jentera FRT. 

“Apabila sampai di lokasi kejadian, kita dapati kemalangan tersebut melibatkan lima buah kenderaan termasuk sebuah lori treler di kawasan pondok tol di plaza berkenaan.  

“Pemandu lori treler terbabit dan seorang pemandu kereta jenis Proton Saga mengalami kecederaan dan tersepit di ruang pemandu. 

“Kita menggunakan peralatan khas dan berjaya mengeluarkan mangsa sejurus selepas itu. Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi. 

Tambah, Alimaddia, tiga lagi pemandu kereta masing-masing dari jenis Peugeot, Perodua Alza dan Toyota Vios, berusia di antara 24 hingga 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. - UTUSAN ONLINE