Pembinaan menara tersebut merupakan sebahagian daripada janji BN kepada pengundi, ketika kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar tahun lalu yang menyaksikan parti itu menang bergaya.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zuhdi berkata, sebanyak RM1.7 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembinaan menara yang amat diperlukan nelayan itu menjadi kenyataan.

“Semasa Pilihan Raya Kecil Sungai Besar tahun lalu, saya melihat ada keperluan para nelayan supaya mereka ini dibantu dari segi tanda arah suar yang berfungsi bagi menunjukkan laluan kepada kapal dan bot nelayan agar dapat belayar serta mendarat dengan selamat.

 “Alhamdulillah, kerajaan BN memperuntukkan sejumlah wang yang besar di Parlimen ini bagi kemudahan nelayan di Sekinchan dan Sungai Besar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pembinaan menara tersebut, semalam.

Menurut Budiman, pembinaan menara setinggi 15 meter itu mula dilaksanakan pada 10 Februari lalu dan dijangka siap dibina 1 Jun depan.

Jelasnya, apabila siap kelak menara itu mampu dilihat oleh nelayan sejauh lima batu nautika dan keadaan tersebut amat membantu dalam proses navigasi.

“Kerja-kerja ini sudah mencapai 30 peratus pembinaan dan kita jangka akan siap sepenuhnya kurang daripada sebulan ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE