Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abd. Latif Mahmod berkata, sebarang aktiviti sama ada kerja-kerja pengorekan pasir, penebangan pokok sagu atau nipah hanya mengakibatkan kepupusan siput yang menjadi sumber makanan larva kelip-kelip.

Jelasnya, pihaknya tidak menghalang aktiviti itu dijalankan, namun tidak menggalakkannya berikutan hanya menyebabkan kawasan habitat itu kering dan berlakunya pencemaran air.

"Hanya ada dua negara di dunia yang memulihara habitat ini iaitu Malaysia dan Thailand. Seharusnya, kita patut berbangga dan membantu dalam memuliharanya ekosistem bukan menjejaskannya.

"FRIM sentiasa menyokong usaha mana-mana pihak untuk memulihara kawasan habitat kelip-kelip di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abd. Latif mencadangkan suppaya negeri termasuklah di Selangor menyediakan sekurang-kurangnya satu hektar untuk memulihara habitat haiwan berkenaan.

"Dengan adanya kawasan ini, kita bersedia menjalankan proses tanaman pokok sagu untuk dijadikan tempat pembiakan siput sekaligus menjaga sumber makanan larva kelip-kelip.

"Perkara ini memerlukan kerjasama semua pihak sama ada kerajaan negeri, PBT dan pemilik tanah sendiri. Mentaliti dalam memupuk kecintaan terhadap alam sekitar perlu dipertingkatkan," ujarnya.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan aktiviti pengorekan pasir di Sungai Selangor yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Kuantan yang dikhuatiri bakal mengancam habitat kegemaran kelip-kelip. - UTUSAN ONLINE