Sekolah antarabangsa Amerika Syarikat itu menawarkan program pendidikan pra-sekolah hingga sekolah menengah melibatkan pelajar berumur antara lima hingga 16 tahun untuk permulaan.

Selain itu, sekolah berkenaan yang merupakan sebahagian daripada 9.8 hektar hab pendidikan di Forest City menawarkan kokurikulum pendidikan Amerika Syarikat secara keseluruhannya.

Sekolah berkenaan yang dibina Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) iaitu pemaju Forest City, melibatkan tiga fasa dengan fasa pertama akan melibatkan pengambilan 160 pelajar.

Pengarah Strategi CGPV, Ng Zhu Hann berkata, ketika ini sekolah antarabangsa berkenaan mempunyai 16 guru dari Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Uni­ted Kingdom and Singapura.

“Sementara guru tempatan pula akan mengajar bahasa Mandarin. Pelajarnya dari pelbagai negara antaranya China, Amerika Syarikat, United Kingdom, Filipina, Korea dan Jepun.

“Satu lagi perkara unik tentang sekolah antarabangsa ini ialah setiap pelajar akan tinggal dalam asrama dan guru juga akan tinggal dalam bangunan sekolah yang sama,” katanya berucap dalam majlis penyiapan bangunan The Shattuck St. Mary, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim; Pengarah Urusan CGPV, Datuk Daing A. Malek Daing A. Rahman dan Pengetua The Shattuck St Mary Forest City, Graham Gamble.

Difahamkan, apabila siap sepenuhnya sekolah antarabangsa itu mampu menampung sehingga 3,200 pelajar dan pembinaan keseluruhan sekolah berkenaan akan bergantung kepada keperluan semasa.

Zhu Hann berkata, fasa kedua dan ketiga akan diteruskan dalam tempoh masa kira-kira lima tahun ini sekali gus kewujudannya akan memperkukuhkan Iskandar Puteri sebagai sebagai hab pendidikan antarabangsa.

Forest City katanya, akan terus menyokong usaha dan agenda kerajaan dalam mempromosikan pendidikan bertaraf dunia di Malaysia dan memainkan peranan dalam membina negara bangsa.