Malah, walaupun lesen menangkap ikan dimiliki telah tamat tempoh, namun bot-bot syarikat berkenaan masih lagi giat menjalankan aktiviti berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, terbaru semalam, anggotanya menahan dua lagi bot daripada syarikat terbabit kerana melakukan kesalahan kelmarin.

“Kelmarin, kira-kira pukul 11.30 pagi, Pusat Operasi Zon Maritim Miri telah menerima satu laporan daripada orang awam berkenaan aktiviti penangkapan ikan secara tunda ganding.

“Hasil maklumat itu, dua bot peronda Maritim Malaysia telah diarahkan pergi ke lokasi yang dimaklumkan untuk menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pada pukul 1.15 petang, bot peronda telah mengesan dua bot nelayan pada jarak kira-kira 2 batu nautika dari bot peronda Maritim Malaysia yang disyaki sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding.

Bot tak serik
BOT kargo yang ditahan oleh Maritim Malaysia kerana menangkap ikan menggunakan pukat ganding di perairan Miri, kelmarin. - UTUSAN ONLINE

Katanya, pada pukul 2.30 petang, sebuah daripada bot peronda telah menahan bot kargo yang bernombor pendaftaran One United 19 pada jarak kira-kira 45 batu nautika dari Pantai Tanjong Lobang di sini.

Tambahnya, sebuah lagi bot kargo bernombor pendaftaran One United 6 cuba melarikan diri tetapi dapat ditahan selepas sejam dikejar oleh bot Maritim Malaysia.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot kargo tersebut memiliki lesen telah tamat tempoh.

“Seramai 39 anak kapal warga Vietnam termasuk nakhoda berusia 20 hingga 52 tahun ditahan dan 18 orang daripadanya

tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 15,000 kilogram ikan bersama bot dianggarkan bernilai RM500,000.

Katanya, kedua-dua bot kargo tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/1960. - UTUSAN ONLINE