Beliau berkata, malah Sarawak juga mampu setanding dengan negara-negara maju dalam era digital yang menyaksikan dunia menggunapakai istilah teknologi yang lebih rumit dan kompleks termasuk telekomunikasi 5G, Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), Voice Recognition, Virtual and Augmented Reality (VR / AR).

"Sama ada kita maju ke hadapan dalam bidang penyelidikan baharu atau kita akan hanya menjadi pengikut tanpa dapat membawa banyak kemajuan kepada rakyat dan negara kita," katanya dalam ucapan pembukaan pada perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2019 (IDECS) di sini hari ini.

Abang Johari berkata terdapat banyak faedah lain dalam ekonomi digital yang hampir semua negara di dunia ini sedang meneroka, dan Sarawak juga telah merangka strategi dan pelan tindakannya yang pada masa ini berada di peringkat awal pelaksanaan.

"Beberapa inisiatif awal untuk melaksanakan strategi ekonomi digital kita antaranya ialah dalam konteks kerajaan digital, perkilangan, bandar pintar, pelancongan, pertanian dan e-dagang.

"Mengenai inisiatif kerajaan digital, sistem identifikasi dan pengesahan dalam talian dikenali sebagai "ID Sarawak" telah dilaksanakan untuk membolehkan orang ramai mengakses dan menggunakan pelbagai perkhidmatan dalam talian atau sistem aplikasi kerajaan Sarawak," katanya.

Ketua Menteri berkata setakat 1 Julai, jumlah pengguna berdaftar ID Sarawak mencecah 208,644 dengan 20 perkhidmatan kerajaan boleh diakses secara dalam talian.

Mengenai IDECS, Abang Johari berkata ini merupakan edisi ketiga persidangan itu dan melibatkan 2,300 delegasi dari seluruh dunia.

"Untuk mempercepatkan usaha ke arah pendigitalan, kami bekerjasama dengan pemain teknologi digital antarabangsa dan saya gembira kerana, pada esok, 10 Memorandum Persefahaman (MOU) akan dimeterai antara Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) dan pelbagai rakan antarabangsa berkaitan Ekonomi Digital Sarawak.

"Dalam pada itu, terdapat satu perjanjian usaha sama (JVA) antara syarikat telekomunikasi Sarawak SACOFA dan Datastream Technology Sdn Bhd (DST) dari Brunei Darussalam, berkaitan penyediaan perkhidmatan internet runcit berkelajuan tinggi di Sarawak, dan satu pemeteraian MOU antara SACOFA dan XPERANTI mengenai perkongsian untuk penyediaan Penyelesaian IoT di Sarawak, " kata beliau. - BERNAMA