Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Doughlad Uggah Embas yang memetik kerjasama itu sebagai satu kejayaan, berkata Sarawak mengeksport 30 tan pes durian ke China pada 2018 dan 100 tan lagi pada tahun ini melalui syarikat penaung Top Fruit Sdn Bhd,

"Masih terdapat permintaan yang besar dari China untuk durian kami. Kami sekarang mahu menanam pelbagai jenis Munsang King kerana populariti yang meluas dan harga pasarannya juga sangat baik," katanya pada majlis penutupan kursus penanaman Durian Musang King di Kampung Pichin, Serian, hari ini.

Kursus itu dihadiri oleh kira-kira 600 pekebun tempatan.

Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata Top Fuit memasarkan Durian Musang King ke tujuh buah negara termasuk China dan kilang pemprosesan mereka diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Tidak ada pencapaian yang mudah. Di sisi lain, FAMA juga mempunyai 31 buah pusat pemprosesan yang turut mendapat pengiktirafan antarabangsa," katanya.

Sarawak sedang mengubah suai hartanah jabatan pertaniannya yang terletak di Tarat, Serian, untuk digunakan sebagai pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) dengan kos RM1.8 juta.

"Selepas disiapkan pada tahun ini, durian dan buah-buahan bermusim boleh diproses di sana," katanya lagi.

Uggah memuji inisiatif FAMA yang telah mendirikan CPPC untuk durian bernilai RM600,000 di Kota Samarahan.

Sejumlah RM18 juta telah diperuntukkan bagi membangunkan industri durian di Sarawak sebagai sebahagian daripada program kerajaan bagi mempelbagaikan tanaman.

"Kami mahu mengelakkan situasi di mana para pekebun kami terus bergantung kepada minyak sawit, lada atau getah memandangkan komoditi-komoditi ini selalunya tertakluk kepada turun naik harga pasaran," katanya. - BERNAMA