Douglas Uggah Embas
Douglas Uggah Embas 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan negeri amat berminat untuk membangunkan industri madu kelulut bagi tujuan mempelbagaikan aktiviti dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

"Industri madu kelulut adalah baharu bagi kita dan kita melihat ada potensi besar dalam industri ini. Jadi kita amat berminat untuk membuat susulan kepada perkara ini dan menjalin kerjasama dengan YAU.

"Selain itu, kerjasama ini akan membolehkan kita menembusi pasaran China yang amat besar," katanya selepas menerima kunjungan delegasi lima anggota diketuai Presiden YAU Prof Sheng Jun di pejabatnya di sini, hari ini.

Turut hadir Konsul Jeneral China ke Sarawak, Cheng Guang Zhong, dan pegawainya.

Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Peribumi dan Pembangunan Serantau berkata universiti itu antara lain mempunyai pengalaman lebih 70 tahun dalam pengajaran dan penyelidikan bidang sains pertanian dan teknologi .

Selain melihat kepada peluang menjalin kerjasama dengan YAU dalam bidang bioteknologi, kerajaan Sarawak juga berminat dengan perkongsian data besar dalam sektor pertanian, katanya.

"Kerajaan negeri dalam proses mentransformasi sektor dan melaksanakan perladangan moden dengan menggunakan teknologi tinggi," kata Uggah.

Beliau juga menzahirkan harapan untuk menghantar delegasi bagi melawat universiti itu dalam usaha mendapatkan lebih banyak pengetahuan tentang penyelidikan bioteknologi serta pemprosesan data besar dalam sektor pertanian.

Sementara itu, Sheng berkata YAU, yang mempunyai 20 makmal berbeza amat berminat membangunkan industri madu kelulut di negeri itu.

"Dengan kepakaran dan pengalaman kami, kami mahu meningkatkan pembangunannya. Kami mahu membangunkan produk makanan mewah, produk bio-farmaseutikal dan produk lain daripada madu," katanya.

Universiti akan berusaha mengenal pasti jenis pokok dan bunga yang menarik perhatian kelulut, yang kemudiannya boleh ditanam oleh petani, kata Sheng.

Beliau berkata pelabur daripada Malaysia, Singapura dan China juga boleh turut serta dalam inisiatif itu. - BERNAMA