Namun apabila bercerita tentang sejarah asal wau, pasti ramai yang tidak mengetahui dari mana permainan itu mula dicipta.

Mengikut sejarahnya, wau mula diterbangkan oleh seorang Jeneral China bernama Han Hsin daripada Dinasti Han sekitar 200 sebelum masihi, melepasi tembok kota yang cuba diserangnya.

Beliau menerbangkan wau tersebut bagi mengetahui jarak terowong yang harus digali oleh tenteranya dalam usaha untuk melepasi barisan pertahanan musuh sebelum akhirnya berjaya menakluki kota berkenaan.

Sejak itu, populariti wau tersebar ke serata pelosok dunia dibawa oleh pedagang China ke Korea kemudian menyeberangi Asia ke India.

Kini, permainan wau atau dikenali juga dengan beberapa nama lain seperti gudi dan layang-layang turut popular di Sarawak.

Di bandar raya ini, Persatuan Wau Kuching Sarawak (Pewasa) di bawah pimpinan Presidennya, Mostapha Marzuki, semakin giat mempromosi permainan layang-layang dalam kalangan masyarakat.

Mostapha berkata, Pewasa ditubuhkan pada 1998 mempunyai ahli yang aktif dalam aktiviti permainan layang-layang bukan sahaja di Kuching tetapi juga di bahagian lain termasuk Sarikei.

Menurutnya, pada setiap ming-gu, ahli persatuan akan bermain layang-layang di kawasan riadah sebagai usaha untuk menarik minat masyarakat terhadap permainan tradisional tersebut.

Katanya, bermain layang-layang sudah menjadi budaya dalam masyarakat dan Pewasa aktif mempromosikan permainan tersebut agar ada kesinambungan dan tidak pupus ekoran ledakan teknologi yang melahirkan ba-nyak permainan berbentuk digital ketika ini.

"Kami sering mendapat jemputan untuk mewakili Sarawak atau Malaysia ke pertandingan wau pe-ringkat kebangsaan seperti Grand Prix Wau Sabah serta Pesta Wau Jakarta, Pesta Wau ASEAN dan Festival Layang-layang Antarabangsa Wei Fang, China di peringkat antarabangsa.

"Antara kejayaan manis Pewasa ialah menjuarai kategori Train Kite di Festival

Layang-layang Sedunia Ke-18 pada 2013 setelah mengalahkan pasukan antarabangsa lain dengan penerbangan 200 layang-layang," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mostapha memberitahu, kejayaan mengharumkan nama negara cukup manis untuk dikenang dan beliau kini membuat persediaan untuk memecah rekod dengan menerbangkan 300 layang-layang kereta api.

Dalam pada itu, katanya, Pewasa pernah diberi tanggungjawab oleh kerajaan Sarawak untuk menganjurkan pertandingan layang-layang peringkat antarabangsa yang kini dimasukkan sebagai acara pelancongan utama negeri iaitu Festival Layang-Layang Borneo (BKF).

Katanya, acara tersebut merupakan idea bekas Ketua Menteri yang kini merupakan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

"Pewasa berasa bangga kerana dengan kerjasama Majlis Pela-yang Malaysia, kami akhirnya berjaya memulakan sebuah acara penting yang kini menjadi tarikan kepada pelayang dunia untuk berkunjung ke Bumi Kenyalang," ujarnya.

Mostapha memberitahu, beliau sendiri sentiasa mencipta keunikan dalam permainan layang-layang dan kini sedang berusaha mempo-pularkan layang-layang bercahaya yang dapat dimainkan pada malam hari.

Katanya, keistimewaan layang-layang tersebut mendapat sambutan menggalakkan.

"Kita menggunakan lampu LED yang dipasangkan pada layang-layang. Cahaya lampu ini menarik dan mengasyikkan jika dilihat terbang di langit pada waktu malam," katanya.

Ditanya mengenai harapan Pewasa terhadap sukan layang-layang, Mostapha berkata, beliau berharap agensi kerajaan yang berkaitan serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dapat terus memberi sokongan terhadap aktiviti yang dijalankan oleh persatuan tersebut.

Tambah beliau, ketika ini, pihaknya sedang aktif memberi pengetahuan kepada orang ramai khususnya generasi muda yang berminat bermain layang-layang tentang teknik penerbangan dan pembuatan layang-layang terutama wau tradisional.

Katanya, peminat layang-layang boleh datang di Pasir Pandak, Santubong dekat sini pada setiap petang pada hujung minggu untuk menyertai aktiviti dijalankan oleh Pewasa.