Menurutnya, beliau percaya masyarakat itu akan terus menyokong kerajaan mengukuhkan kedudukan ekonomi dengan sumber-sumber yang ada dalam negara dan pengaruh di peringkat antarabangsa.

Katanya, hal ini kerana ekonomi yang lebih mantap dalam negara merupakan berita baik kepada masyarakat Cina yang terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan dan sektor perkhidmatan.

“Rakan-rakan Cina kita, menjadi pemain utama dalam dagangan dan industri di Sarawak.

“Mereka mempunyai peranan besar untuk membantu kerajaan menguatkan ekonomi negeri ini dan Malaysia,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina 2018 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menyedari peranan penting kaum Cina, kerajaan negeri bersedia mendengar keperluan mereka dalam perniagaan.

Katanya, kerajaan turut mengambil langkah sewajarnya untuk memudahkan masyarakat Cina menjalankan perniagaan di Sarawak seperti tidak menguatkuasakan sebarang prosedur terhadap mereka.

Tambahnya, beliau yakin masyarakat peniaga Cina bersama kaum lain di negeri ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutama dalam sektor perkhidmatan, pembinaan, perumahan, pelancongan dan makanan.

Dalam pada itu, katanya, rakyat Sarawak amat bertuah kerana terdiri daripada berbilang kaum, budaya, cara hidup dan kepercayaan.

“Kita bebas mengamalkan budaya, tradisi dan agama. Itulah Sarawak yang kita kenali hari ini . Kita sentiasa bersatu padu sehingga menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

“Jadi, saya menyeru kepada saudara dan saudari yang bukan daripada keturunan Cina supaya meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah terbuka rakan-rakan kaum Cina dalam usaha berterusan untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan kita yang pelbagai agama, bangsa dan budaya.

“Biarlah Sarawak terus menjadi contoh kepada semangat perpaduan kaum dan agama yang tulen bagi seluruh negara,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE