Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam, dalam tempoh berbaki kira-kira seminggu lagi, pihak terlibat perlu segera berbuat demikian dengan mendaftar melalui lawan sesawan https://mysst.customs.gov.my/ atau menghubungi Pusat Panggilan Kastam di talian 1300 888 500 atau mengunjungi mana-mana pejabat kastam terdekat.

Katanya, melalui perkhidmatan terbabit, peniaga atau syarikat boleh menyemak status perniagaan sama ada perlu berdaftar atau tidak dan juga memaklumkan pertukaran alamat e-mel sekiranya berkaitan bagi tujuan makluman pendaftaran.

“Sehingga kini, sebanyak 77,451 perniagaan telah didaftarkan di bawah SST melalui pimindahan automatik daripada sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada sistem SST (MyGST kepada MYSST) dan peniaga ini telah dimaklumkan melalui e-mel.

“JKDM juga sudah memuat naik sembilan panduan SST bagi rujukan industri atau syarikat dan menjangkakan dapat memmuat naik kesemua 31 panduan SST dalam tempoh 48 jam lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan Program `Hand Holding’ atau Taklimat SST kepada industri dan syarikat di Wisma Kastam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Subromaniam berkata, JKDM telah melancarkan pendaftaran secara atas talian bermula 16 Ogos lalu dan sehingga Selasa lalu, terdapat 470 pendaftaran baharu daripada perniagaan telah diterima.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan terdapat kesilapan dalam pendaftaran apabila ada syarikat yang tidak sepatutnya berdaftar tetapi telah didaftarkan di bawah SST secara automatik.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana kemungkinan peniaga tersebut telah melakukan kesilapan semasa mengisi kod Klasifikasi Standard Perindustrian Malaysia (kod MSIC).

“Sekiranya perkara ini berlaku, peniaga perlu memohon secara bertulis dan mengemukakan kepada stesen mengawal untuk membatalkan pendaftaran,” ujarnya.

Selain itu, katanya, para peniaga juga dinasihatkan untuk menyemak tempoh bercukai pertama pada surat kelulusan pendaftaran kerana tempoh bercukai pertama bagi peniaga yang tahun kewangannya pada bulan ganjil (Januari, Mac, Mei, Julai, September dan November) adalah 1 hingga 30 September depan.

Justeru, ujarnya, penyata SST-02 dan bayaran untuk tempoh berkenaan hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada atau sebelum 31 Oktober nanti, manakala tempoh cukai seterusnya, penyata perlu dikemukakan pada setiap dua bulan sekali dan tarikh akhir penghantaran penyata adalah pada atau sebelum hujung bulan berikutnya.

Bagi tahun kewangan berakhir genap (Februari, April, Jun, Ogos, Oktober dan Disember), beliau berkata, tempoh bercukai pertama bermula 1 September hingga 30 Oktober nanti manakala tarikh akhir penghantaran penyata dan bayaran adalah pada atau sebelum 30 November tahun ini. - UTUSAN ONLINE