Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sarawak, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, bantuan tersebut digerakkan setelah Pusat Operasi Maritim Negeri menerima panggilan kecemasan daripada pemilik bot pancing pada pukul 4.20 pagi.

Katanya, pemilik itu memohon bantuan untuk membawa seorang kru bot, Chua Soon Cho, 44, memerlukan rawatan lanjut.

“Sejurus aduan diterima, Kapal Maritim (KM) Mengalum telah diatur gerak ke lokasi untuk melaksanakan Operasi Medevac kru bot pancing.

“Bot pancing itu ditemukan pada lebih kurang 6.50 pagi tadi dan mangsa dipindahkan ke KM Mengalum sebelum dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas),” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.

Tambahnya, mangsa telah tiba di jeti Komtas pada pukul 7.20 pagi dan dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan ambulans.

Dalam pada itu, Shahref memberitahu, agar menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) atau talian kecemasan 999 jika terdapat sebarang kemalangan atau kejadian kecemasan di laut negeri ini.

“Tindakan segera dapat diambil Maritim Malaysia melalui maklumat yang diterima itu,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE