Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata lima FMU terbabit adalah Kapit, Linau, Bahau-Kahei dan Ulu Trusan manakala FMU Anap Muput mengekalkan pensijilannya bagi tempoh melebihi 10 tahun.


"Kita menghargai usaha pengurus perhutanan untuk memiliki pensijilan itu bagi konsesi masing-masing," katanya ketika merasmikan Sesi Konsultasi Bersama Penggiat Industri Perkayuan bagi semakan Dasar-Dasar Perhutanan Negeri Sarawak di sini, hari ini.


Sesi berkenaan antara lainnya melibatkan usaha semakan semula perkara seperti cadangan mengenakan fi ke atas eksport produk perkayuan, hasil perhutanan dan potensi pendapatan berkaitan perhutanan.


Abang Johari berkata keprihatinan terhadap kepentingan alam sekitar di peringkat tempatan dan global yang semakin ketara, turut menjadikan FMC sebagai syarat penting oleh pembeli global yang mahu memastikan kayu-kayan serta produk berasaskannya dihasilkan hutan yang diurus secara lestari.


"Pada awal perjalanan (pengurusan hutan secara lestari), sudah pasti ada kekurangan serta cabaran yang tidak dapat dielakkan serta perlu dihadapi dan ditangani secara bersama," katanya.


Beliau yakin kerjasama erat antara semua kementerian, agensi, industri perkayuan, pertubuhan kerajaan dan komuniti tempatan akan dapat memastikan keseimbangan antara pembangunan alam sekitar, ekonomi dan sosioekonomi dapat dicapai menerusi usaha pensijilan tersebut.


Menurutnya, setakat hari ini, jumlah keluasan hutan asli yang memiliki sijil itu adalah sebanyak 561,703 hektar iaitu 347,862 hektar di kawasan hutan kekal dan baki 213,841 hektar di kawasan milik negeri itu.


Abang Johari yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak, berkata inisiatif pensijilan itu tidak hanya memperluaskan akses pasaran dan penerimaan produk kayu-kayan Sarawak tetapi turut mempertingkat imej negeri itu sebagai pengurus hutan yang mampan.


"(Aspek) penguatkuasaan akan dipertingkat bagi memastikan pematuhan selain mengekang aktiviti haram menerusi pelaksanaan Sistem Pengesahan Kesahihan Sarawak," katanya.


Menurutnya, hasil kayu-kayan daripada hutan negeri itu turut menyumbang kepada pembangunan industri berasaskan perkayuan Sarawak sebagai antara sektor ekonomi utama selain gas asli, petroleum dan minyak sawit.


Malah, nilai eksport bagi perkayuan dan produk berasaskannya pada 2017 mencecah kira-kira RM6.3 bilion.


"Penyumbang utama adalah papan lapis dan venir dengan nilai eksport RM3.4 bilion, diikuti balak (RM1.2 billion), kayu gergaji (RM802 juta) dan papan gentian (RM308 juta).


"Ini merupakan produk utama yang menyumbang kira-kira RM5.7 bilion atau 93 peratus daripada jumlah nilai eksport bagi sektor ini," katanya.- BERNAMA