Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, klinik di bawah kendalian Jabatan Kesihatan Sarawak itu akan menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan khusus kepada remaja seperti pemeriksaan kesihatan, kaunseling dan nasihat termasuk membantu remaja wanita yang hamil.

Beliau berkata, ketika ini, kedua-dua klinik yang menjadi perintis itu masih dalam proses melatih kakitangan sebelum memulakan operasi yang dijangka bermula akhir tahun ini.

“Penubuhan Klinik Mesra Ikon Remaja ini merupakan salah satu program yang diperkenalkan di bawah Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) dengan memilih Kapit dan Bintulu sebagai perintis.

“Klinik berkonsep mesra remaja pertama dibuka di Sarawak ini akan memberi perkhidmatan khusus kepada golongan remaja yang mempunyai masalah kesihatan, tekanan perasaan dan rasa cemas terutama remaja hamil yang tiada tempat untuk mengadu atau mendapatkan nasihat bagi menyelesaikan masalah mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa OSTPC di sini hari ini.

Fatimah berkata, klinik terbabit tidak terhad memberi perkhidmatan kepada remaja wanita tetapi turut membantu remaja lelaki yang memerlukan perkhidmatan kesihatan, nasihat dan kaunseling.

Katanya, selain jururawat dan doktor, klinik terbabit bakal menempatkan pakar kaunseling dan pakar penasihat makanan untuk mengendalikan pelbagai jenis kes yang membabitkan golongan remaja.

Tambahnya, selain memberi rawatan di klinik, para petugas di Klinik Mesra Ikon Remaja turut bersedia merawat pesakit yang berada di luar apabila diperlukan.

“Sebagai permulaan, kita hanya membuka dua klinik pertama di Kapit dan Bintulu. Sekiranya menunjukkan hasil positif, kita merancang memperluaskan perkhidmatan Klinik Mesra Ikon Remaja ke seluruh Sarawak pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fatimah memberitahu, Sarawak masih menjadi negeri kedua di Malaysia yang mencatatkan kes kehamilan remaja yang tinggi iaitu 973 kes bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Selain itu, katanya, terdapat juga kebimbangan apabila berlaku trend remaja belum berkahwin mencatatkan kes kehamilan yang tinggi pada setiap tahun iaitu 35.6 kes pada 2014, seterusnya meningkat kepada 48.5 peratus (2015), 54.1 peratus (2016), 54.6 peratus (2017) dan 56.1 peratus (Januari hingga Jun lalu). - UTUSAN ONLINE