Menurut mereka buat pertama kali bantuan itu disalurkan terus ke dalam akaun sekolah berbanding kaedah sebelum ini yang menyaksikan pemimpin politik termasuk menteri hadir ke sekolah untuk mengumumkan bantuan tersebut.


Violet Yong
Violet Yong 

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menggunakan kaedah pembayaran ini bagi memastikan peruntukan itu sampai kepada sasaran, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Pending Violet Yong pada sidang media di sini hari ini.


Menurut Yong, sebanyak 191 sekolah rendah bantuan kerajaan di Sarawak termasuk enam sekolah mubaligh menerima peruntukan khas berjumlah RM9.390 juta semalam.


Katanya enam sekolah mubaligh terbabit menerima RM804,600 juta sementara 17 sekolah tidak menyerahkan permohonan mereka.


Sementara itu, Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen berkata buat pertama kali bantuan tersebut diagihkan secara sistematik tanpa sebarang acara khas.


Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata bantuan tersebut yang disalurkan semalam adalah bagi tahun 2018 dan beliau percaya peruntukan untuk tahun depan akan diagihkan lebih awal.


Sehubungan itu beliau menggesa semua sekolah yang berkenaan menghantar permohonan mereka lebih awal.


Bantuan berjumlah RM50 juta itu diluluskan oleh Kementerian Kewangan untuk tahun ini untuk semua sekolah yang berkenaan. Bagaimanapun 68 sekolah tidak memohon peruntukan khas tersebut. - BERNAMA