Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata keputusan bahawa dana itu dimasukkan ke dalam akaun khas dan bukannya ke dalam Dana Konsolidasi Persekutuan dibuat semasa pertemuan antara Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini pada 24 April lepas.

"Dr Maszlee memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan dan kerajaan persekutuan mengakui kebimbangan berhubung keputusan untuk membayar wang itu kepada Dana Konsolidasi Persekutuan untuk diagihkan melalui bajet tahunan.

"Semasa pertemuan ini, beliau membuat beberapa cadangan untuk meleraikan kebuntuan ini," katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Cadangan lain adalah proses perolehan diuruskan oleh Lembaga Perolehan Persekutuan Sarawak dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sebagai agensi pelaksana.

Beliau berkata satu perjanjian akan ditandatangani antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak untuk memastikan RM1 bilion, yang akan dibayar sebagai pembayaran kontra untuk pinjaman persekutuan, hanya dibelanjakan untuk sekolah-sekolah usang di negeri ini.

Mengenai peruntukan persekutuan, Manyin berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memperuntukkan RM100 juta tahun ini untuk membaiki dan menaik taraf 32 sekolah yang mana projek itu dijangka bermula pada Julai dan siap menjelang akhir tahun ini.

"Pengurusan projek ini secara langsung terletak di bawah Kementerian Pendidikan dengan JKR Sarawak sebagai agensi pelaksana," katanya menambah dua isu utama yang dihadapi Sarawak adalah sekolah usang dan kadar kemasukan ke sekolah yang rendah.

Menurut Jabatan Pendidikan Sarawak pada 2017, beliau berkata sebanyak 1,020 daripada 1,457 sekolah di negeri ini dikenal pasti sebagai sekolah usang dan sejak itu, banyak usaha dilakukan untuk menaik taraf sekolah berkenaan oleh kerajaan negeri dan persekutuan.

Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran, Kementerian Pendidikan mengenal pasti sebanyak 651 daripada 1,265 sekolah rendah mempunyai kadar kemasukan yang rendah iaitu kurang daripada 150 pelajar.

Beliau berkata berdasarkan anggaran awal, 357 daripada sekolah berkenaan boleh digabungkan dengan 126 sekolah berpusat berdasarkan kriteria persetujuan daripada ibu bapa, ketersediaan tapak, akses jalan raya, kemudahan asrama dan akses kepada kemudahan awam.- BERNAMA