Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud berkata Islam sebagai agama penyatuan sememangnya telah berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi dan menjadi panduan dalam pentadbiran negara ini khasnya di Sarawak.

"Perlembagaan negara memberikan hak yang istimewa kepada Islam sebagai agama rasmi negara ini namun ia tidak mempunyai diskriminasi terhadap masyarakat beragama lain.

"Islam menggalakkan kita berbaik-baik dengan semua golongan dan di negeri kita, kita dapat memupuk persaudaraan dengan masyarakat pelbagai kaum," katanya semasa majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak di Kompleks Sukan Sarikei di sini hari ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam di negeri itu kerana berjaya mewujudkan hubungan yang amat baik antara satu sama lain.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kepimpinan negeri itu belajar daripada cara pentadbiran yang diamalkan oleh Rasulullah mengikut Piagam Madinah.

Piagam itu yang menekankan pentingnya sistem sosial yang adil dan saksama memperkukuhkan perpaduan masyarakat di Madinah pada ketika itu.

Dengan mencontohi Rasulullah, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan dapat mentadbir Sarawak dengan baik.

Taib dan Abang Johari selepas itu menyertai lebih 3,200 peserta perarakan daripada 129 kontinjen berbilang kaum dan agama sejauh 3.5 kilometer bermula dari kompleks tersebut. - BERNAMA