Pengarah JKNS Dr Jamilah Hashim berkata rawatan ke atas kedua-dua pesakit dimulakan sebaik sahaja mereka dikesan menghidap penyakit tibi.

"Ujian calitan kahak telah dibuat dan keputusan adalah negatif," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini bagi menjelaskan laporan yang tular di laman media sosial berkaitan kes penyakit tibi di kawasan pasar raya berkenaan.

Dr Jamilah berkata semua pekerja pasar raya terbabit telah diarahkan untuk membuat pemeriksaan penyakit tibi di Klinik Kesihatan Petra Jaya pada Isnin hingga Jumaat minggu ini.

Beliau turut menasihati sesiapa yang ingin pergi ke kawasan pasar raya tersebut agar menggunakan topeng penutup muka.

Dr Jamilah berkata Unit Kawalan Penyakit Tibi Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching telah mengenal pasti 158 orang kontak keluarga, sosial dan rakan sekerja yang perlu menjalani saringan penyakit tibi.

Menurutnya pihak pengurusan pasar raya itu juga mengambil inisiatif dengan menjalankan ujian X-ray di fasiliti swasta dan selepas itu, semua kakitangan yang terlibat dirujuk ke klinik kesihatan Petra Jaya bagi mendapatkan konsultasi seterusnya secara percuma.

Katanya walaupun dua kakitangan pasar raya itu didiagnos penyakit tibi, mereka tidak lagi menjangkitkan penyakit ini kepada orang lain kerana rawatan telah dimulakan dan mereka mematuhi semua arahan rawatan yang ditetapkan.

"Masyarakat tidak perlu risau kerana tibi adalah penyakit yang boleh dirawati dan pesakit sembuh sepenuhnya," katanya. - BERNAMA