Uggah berkata berikutan beberapa pencapaian cemerlang di peringkat dunia dan Asia, Buda adalah pilihan tepat untuk memberi inspirasi kepada mereka agar terus maju dalam apa juga perkara yang diusahakan.


Beliau berkata di pihak kerajaan Sarawak, usaha akan dilakukan untuk membantu Buda, 47, pesara Tentera Udara Diraja Malaysia berpangkat Pegawai Waran I, memajukan diri dalam sukan berkenaan untuk terus membawa kegemilangan kepada negeri ini.

"Saya mahu beliau menjadi ikon bagi belia kita. Beliau seorang daripada ahli sukan kita yang sangat berjaya. Bukan mudah untuk mencapai tahap kejayaan seperti beliau tanpa disiplin yang betul, komitmen dan kecekalan mental.


"Beliau (Buda) boleh memberi ceramah motivasi kepada pelajar kita, dan semestinyalah, kepada ahli sukan kita," kata Uggah selepas menerima kunjungan hormat Buda di pejabatnya di sini hari ini.

Buda, pada Disember lepas, meraih gelaran juara dalam kategori masters (kategori 40-49 tahun sehingga 80kg) Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia ke-10 di Chiangmai, Thailand.


Beliau memenangi tempat kedua dalam kategori 70kg kejohanan sama.


Anak jati Sri Aman ini yang menceburi sukan bina badan semasa menjadi rekrut TUDM pada 1994, pernah mengambil bahagian dalam empat pertandingan peringkat Asia dan satu temasya Sukan SEA.


Bagi tahun ini, beliau mengidamkan kejayaan dalam Kejohanan Bina Badan Asia yang akan diadakan pada Oktober ini di Kemboja, dan Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal Dunia di Seoul, Korea Selatan, pada November.


"Jika bina badan dimasukkan dalam temasya Sukan SEA Manila tahun ini, saya sedia menyertainya," kata Buda.

Mengenai perancangannya yang lain, Buda berkata beliau berhasrat menubuhkan sebuah gimnasium sama ada di sini atau Kota Samarahan kerana beliau mahu berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diraihnya kepada kalangan belia.


"Paling penting, saya mahu memberi amaran kepada mereka tentang bahaya mengambil dadah perangsang yang diharamkan dan steroid untuk meningkatkan prestasi dalam sukan.


"Sukan bina badan sangat popular dalam kalangan belia kita masa kini dan gimnasium ada di kebanyakan tempat, walaupun di kawasan luar bandar," katanya.- BERNAMA