Pembinaan jejambat selesaikan kesesakan waktu puncak di Samarahan
Fadillah Yusof

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, selain pembinaan jejambat, pelebaran jalan daripada dua kepada empat lorong dari bahagian ini menuju ke bandar raya Kuching turut mengatasi masalah tersebut.

Katanya, pembinaan kedua-dua projek yang dijangka dimulakan dalam tempoh terdekat dilakukan, ekoran banyak rungutan berkaitan masalah kesesakan diterima daripada masyarakat khasnya pemandu yang berulang-alik antara kawasan ini ke pusat bandar raya pada setiap hari.

“Kerajaan akan membantu penduduk mengatasi masalah ini secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan mesra di Kampus Latihan Institut Kemajuan Desa Cawangan Sarawak (Infra Sarawak) di sini hari ini.

Fadillah bagaimanapun tidak memberitahu bila tarikh pembinaan dan kos keseluruhan projek tersebut.

Namun, katanya, penaiktarafan bulatan terbabit merupakan keperluan mendesak kerana jalan raya di bahagian Samarahan dijangka mengalami pertambahan kenderaan apabila Jambatan Batang Samarahan dibuka untuk pengguna mulai Jun nanti. - UTUSAN ONLINE