Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam memberikan jaminan itu berkata pentadbirannya melihat resolusi yang dihasilkan itu cukup menyeluruh, meliputi agenda-agenda seperti kebudayaan, warisan, pendidikan, tanah, ekonomi digital dan perniagaan, perkhidmatan awam, belia dan wanita, politik dan agama; yang merangkumi komuniti etnik seperti Bidayuh, Cina, Melayu, Melanau, Iban, India dan Orang Ulu.


"Satu perkara yang ingin saya ketengahkan di sini adalah isu berkaitan Mahkamah Adat. Saya telah mengarahkan Mahkamah Adat untuk melihat kemungkinan ia dinaik taraf menjadi setaraf dengan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil," katanya semasa berucap di majlis makan malam Simposium Ketujuh Budaya Sarawak di sini malam ini.


"Saya juga berharap agar generasi muda kita boleh menterjemah semula warisan budaya kita dalam dunia digital ini, supaya kita boleh ambil dan sesuaikan ia dalam menghadapi cabaran semasa," katanya.


Hari ini merupakan hari terakhir simposium yang menyaksikan perhimpunan tujuh komuniti etnik bersama bagi meraikan perpaduan dan keharmonian sisoal Sarawak.


Sejak Ogos sehingga November lepas, masing-masing pertubuhan etnik di Sarawak menganjurkan simposium sendiri bagi membincangkan pelbagai isu dan cabaran di bawah tema "Menguruskan Budaya Di Era Digital". - BERNAMA