Carlos iaitu Orang Utan Borneo atau nama saintifiknya ‘Pongo pygmaeus pygmaeus’ merupakan seekor daripada tiga Orang Utan dari Sarawak yang dipinjamkan kepada Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (YPOUBM) untuk pelan pemeliharaan haiwan itu di Pulau Orang Utan, Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di Perak pada 2012.

Sarawak Forestry Corporation (SCF) dalam kenyataan memberitahu, setelah sekian lama dijaga dan dibiakkan di YPOUBM, Carlos yang kini berusia 17 tahun akhirnya dikembalikan semula kepada kerajaan Sarawak.

“Carlos iaitu Orang Utan Borneo berusia 17 tahun, tiba di Pusat Hidupan Liar Matang di sini pada pagi Jumaat lalu selepas dijaga dan dibiakkan di YPOUBM.

“Carlos dalam keadaan sihat tetapi masih dikuarantin untuk beberapa tempoh masa sebelum dibenarkan menunjukkan diri kepada orang awam,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Pada 2012, kerajaan Sarawak menandatangi perjanjian persefahaman (MoU) dengan BMLT untuk memindah dan meminjamkan tiga ekor Orang Utan bagi mempromosikan projek pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan awam terhadap hidupan liar yang dilindungi itu. – UTUSAN ONLINE