Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) negeri, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek tersebut merangkumi pembinaan jeti nelayan, dewan masyarakat, pemasangan lampu jalan di tebingan sungai, baik pulih serta pembinaan surau baharu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, projek lain yang turut dilaksanakan ialah pembinaan benteng konkrit, menaik taraf sistem perparitan, pembinaan gelanggang futsal, menaik taraf jalan kampung dan titi belian.

“Pelaksanaan projek RTP yang dimulakan sejak 2015 hingga tahun lalu ini, berjalan lancar di kawasan DUN Pantai Damai, sekali gus memberi manfaat dan keselesaan kepada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Projek RTP 2018 bagi Kawasan DUN Pantai Damai di Pejabat Residen Kuching di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, agensi pelaksana yang terlibat dengan projek tersebut merangkumi Pejabat Residen Bahagian Kuching, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching, Jabatan Perparitan dan Saliran (DID), Dewan Badaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Dalam pada itu, Abdul Rahman meminta semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar menyiapkan cadangan awal senarai projek pembangunan yang memanfaatkan penduduk di kawasan diwakili untuk pelaksanaan pada 2019 dan 2020. - UTUSAN ONLINE