Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, projek tersebut penting dalam membawa teknologi mapan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat Sarawak dan negara.

Katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan dana kepada Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) untuk membuat kajian lanjut.

“Kos penghasilan hidrogen dapat dikurangkan dengan sumber air yang banyak di Sarawak seterusnya memberi kesan kepada kos pengangkutan awam kelak.

“Pada akhirnya, kos pengeluaran di Sarawak dapat dikawal lantas akan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara SEDC dan Foshan Feichi Automobile Manufacture Co. Ltd., China di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain, Pengurus Besar Foshan, Jiang Yong dan Pengarah Projeknya, Lu Yong.

MoU berkenaan ditandatangani Pengurus Besar SEDC, Soedirman Aini dan bagi pihak Foshan oleh Jiang Yong. - UTUSAN ONLINE