Seramai 1,000 pelajar UMS menerima bantuan RM1,000 manakala selebihnya iaitu 300 orang ialah pelajar golongan B40 dari 10 buah sekolah menengah yang menerima bantuan balik sekolah RM200.


Bantuan tersebut disampaikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada majlis penyampaian diadakan di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Kedua UMS di sini, hari ini.


Turut hadir Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk KY Mustafa, Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria dan Naib Canselor UMS Datuk D Kamarudin D Mudin.


Berucap pada majlis itu, Jamalul Kiram berkata, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada Bantuan Biasiswa One-Off berjumlah RM10 juta dilancarkan kerajaan negeri pada September tahun lepas, dan penyampaian bantuan berkenaan dilaksanakan secara berperingkat sejak diperkenalkan.

Jamalul Kiram juga berkata bantuan itu adalah bukti komitmen kerajaan negeri menerusi Kumpulan Yayasan Sabah untuk membantu keperluan pembelajaran anak-anak Sabah seterusnya memastikan mereka mampu melonjakkan potensi pendidikan ke tahap lebih tinggi.


"Saya berharap bantuan pendidikan ini akan digunakan sebaiknya oleh pelajar untuk meringankan beban kos pengajian yang perlu ditanggung oleh ibu bapa mereka," katanya.


Kumpulan Yayasan Sabah akan terus menyokong usaha kerajaan negeri dalam menyediakan peluang pendidikan kepada lebih ramai anak Sabah ke arah melahirkan generasi berpendidikan yang berperanan memacu kemajuan negeri pada masa akan datang, katanya.- BERNAMA