Sabri Zali
Sabri Zali 

Panglima Wilayah 2 (Pangwilla 2) yang baharu Laksamana Muda Datuk Sabri Zali berkata operasi yang dijalankan selama ini, terutama melibatkan TLDM di Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone), akan diteruskan.


"Kita (Mawilla 2) akan meneruskan kerjasama dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan unit-unit lain (dalam Angkatan Tentera Malaysia) sama ada Tentera Udara Diraja Malaysia dan Tentera Darat Malaysia yang ada di Sabah ini bagi meningkatkan keselamatan di perairan Sabah, terutamanya di pantai timur.


"Operasi-operasi yang sedang berjalan selama ini akan diteruskan dan Mawilla 2 akan terus memberi sokongan sepertimana yang dilakukan sebelum ini, malah kita akan meningkatkan lagi segala sokongan yang perlu diberikan kepada sahabat-sahabat kita yang melaksanakan operasi di perairan timur Sabah," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima tugas sebagai Pangwilla 2 daripada Timbalan Pangwilla 2 Kepten Azeman Yusoff, yang memangku tugas Pangwilla 2 itu sejak 2 Jan lepas berikutan Pangwilla 2 terdahulu Laksamana Muda Datuk Ganesh Navaratnam ditukarkan ke Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas).


Sebelum dilantik sebagai Pangwilla 2, Sabri, 51, yang telah berkhidmat dalam TLDM sejak 1984, bertugas sebagai Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera.


Majlis itu disaksikan oleh Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob.


Di samping itu, Sabri berkata pihaknya juga akan memberi fokus kepada usaha memastikan tahap operasi kapal-kapal dipertingkatkan dan sentiasa diselenggarakan agar bersedia untuk ditugaskan pada bila-bila masa.


Sementara itu, Abdul Rahman berkata pihaknya akan meningkatkan kewaspadaan dengan menambah aset untuk melaksanakan rondaan di laut dan untuk memastikan keselamatan perairan Sabah menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.


Selain memberi tumpuan kepada penyelenggaraan aset, beliau turut menekankan aspek latihan dalam kalangan warga TLDM bagi memantapkan kecekapan dan keberkesanan pengoperasian kapal di laut. - BERNAMA