Penganjur bersama, Ceaser Mandela Malakun berkata, seba­nyak 3,000 peluang pekerjaan disediakan menerusi karnival kerjaya itu, sekali gus membuka peluang kepada golongan muda di negeri ini untuk memilih pekerjaan yang bersesuaian de­ngan kelayakan masing-masing.

Menurutnya, penganjuran karnival tersebut juga secara tidak langsung memberi kemudahan kepada pengunjung untuk mendapatkan peluang pekerjaan secara terus.

“Menyedari keperluan golo­ngan muda di negeri ini, kami di peringkat Pemuda BN Sabah pertama kali menyediakan inisiatif ini yang bertujuan membantu mereka dalam mendapatkan pekerjaan.

“Sebanyak 54 syarikat me­nyertai karnival kali ini dan semua syarikat terlibat menyediakan peluang pekerjaan masing-masing meliputi pelbagai bidang,” kata­nya ketika berucap dalam majlis perasmian karnival itu.

Terdahulu, karnival berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Pemuda BN Sabah, Yamani Hafez Musa.

Yang turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau.

Dalam pada itu, Ceaser Mandela berkata, semua pihak khusus­nya golongan muda perlu memanfaatkan peluang ini dalam usaha menaik taraf hidup ke arah yang lebih baik.

“Kita berharap melalui pe­nganjuran program ini dapat membantu mereka yang sedang dalam pencarian pekerjaan untuk mendapatkan peluang masing-masing.

“Sudah pasti, lebih banyak lagi program seumpama ini akan diadakan bukan sahaja di Penampang, sebaliknya di seluruh kawasan dalam negeri ini,” jelasnya.