Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata operasi khas itu dijalankan di Kampung Pondo, Pulau Gaya dan di Kampung Pulau Mantanani di Kota Belud, semalam.


Katanya operasi itu dijalankan berikutan hasil maklumat risikan mendapati berlakunya aktiviti pengeboman ikan di kawasan perairan di daerah Kota Kinabalu.


"Polis turut merampas beberapa set bom ikan, komponen membuat bom ikan, wayar dipercayai fius, sebuah kapal, dua enjin sangkut termasuk wang tunai bernilai lebih RM2,000," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Selamat 14 sempena sambutan Tahun Baru Cina, di sini hari ini.


Beliau berkata kesemua suspek termasuk seorang warga Filipina dipercayai bekerja sebagai nelayan berumur antara 20 hingga 50 tahun kini ditahan reman untuk di soal siasat.

Omar berkata kesemua suspek ditahan mengikut Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya (Pindaan) 2014 serta di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.


"Polis juga sedang mengenal pasti kaitan suspek dengan kejadian sebuah kedai emas yang di bom hujung tahun lalu," katanya.


Sementara itu, Omar berkata agensi keselamatan akan ditempatkan di 30 kawasan yang dikenal pasti sering berlakunya kemalangan jalan raya di seluruh Sabah sepanjang Ops Selamat 14 yang bermula esok hingga 12 Feb depan.


Beliau berkata kawasan itu juga akan menjadi pusat sehenti yang beroperasi selama 24 jam bagi memudahkan orang ramai melaporkan sebarang kejadian jenayah selain mendapat maklumat yang berkaitan.


"Di kawasan perairan juga kawalan akan dipertingkatkan dengan memeriksa bot dan feri bagi memastikan pengusaha bot patuh kepada peraturan keselamatan yang ditetapkan," katanya. - BERNAMA