Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, penganjuran pesta tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Pesta Ubi mampu menjadi perintis kepada usaha pembangunan yang dilaksanakan di pulau itu.

Katanya, bukan sahaja memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat, penganjuran pesta itu dilihat sebagai pemangkin terhadap peningkatan serta kemajuan industri pelancongan negeri.

“Keupayaan Pesta Banggi ini adalah melalui keunikan penganjurannya yang melibatkan keseluruhan suku kaum yang berada di pulau ini seperti suku kaum Ubian, Balabak, Dusun Bonggi, Kegayan dan beberapa suku kaum yang lain.

“Selain itu, pelbagai acara disediakan kepada orang ramai termasuk persembahan kebudayaan masyarakat tempatan, makanan tradisional suku-suku kaum di Pulau Banggi, pameran pertanian dan jualan hasil laut,” katanya ketika berucap merasmikan pesta tersebut, di sini kelmarin.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Abdul Mijul Unaini.

Mengulas lanjut, Musa berkata, Pesta Banggi mampu menjadi wadah terbaik bagi menonjolkan semangat 1Malaysia yang mempunyai semangat kekitaan tinggi dan hidup dalam keadaan aman damai.

Menurutnya, kepelbagaian budaya daripada suku-suku kaum yang berada di kepulauan tersebut bukan sahaja tidak menghalang penduduknya mengamalkan sebuah kehidupan yang saling hormat menghormati, malah menunjukkan kesefahaman jitu dalam menganjurkan sebuah pesta besar.

Katanya, bukan sahaja mampu memperkenalkan suku kaum yang pelbagai di kepulauan tersebut di peringkat lebih jauh, Pesta Banggi merupakan simbol bahawa Sabah merupakan sebuah negeri yang harus dikunjungi oleh orang ramai sama ada dari dalam atau luar negara.

Tambahnya, kejayaan menganjurkan Pesta Banggi dengan baik dilihat peluang terbaik kepada orang ramai terutama masyarakat setempat mengambil peluang untuk menjana pendapatan.

Jelasnya, bukan sahaja usaha tersebut memberi faedah besar kepada masyarakat di Pulau Banggi, malah dalam masa yang sama mampu memartabatkan sektor pelancongan negeri ke satu tahap yang lebih baik.

“Pesta Banggi dilihat sebagai pemangkin kepada masyarakat di pulau ini untuk memberikan sokongan dan kerjasama erat dalam membangunkan daerah ini secara berterusan selaras dengan hasrat murni kerajaan untuk membangunkan Sabah ke satu tahap yang lebih baik.

"Selain itu, pesta ini juga merupakan satu acara yang tercatat dalam kalendar pelancongan Sabah, sekali gus berupaya menarik lebih ramai pelabur luar dalam sektor pelancongan dan pengeluaran hasil laut di negeri ini," katanya.