Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Dzulbaharin Ismail berkata mangsa, 46, yang berkahwin dengan warga tempatan itu, mengalami kecederaan parah di bahagian tangan, belakang dan kepala dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang.


"Siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham dengan suspek berkenaan menyebabkan suspek tersebut berasa tidak puas hati lalu mengeluarkan parang dan mengejar dan menetak mangsa," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.


Beliau berkata selepas mangsa ditetak, suspek berusia 30-an itu bertindak melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.


Beliau berkata mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk rawatan.


Menurutnya, polis sedang giat menjalankan operasi mengesan suspek dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - BERNAMA